SALT LAKE: Lapan sekeluarga termasuk lima kanak-kanak ditemukan maut ditembak di sebuah rumah di selatan Utah di Amerika Syarikat (AS).
Insiden itu disifatkan sebagai tragedi yang menyayat hati berlaku di sebuah bandar kecil di Enoch City.
Pengurus Enoch City, Rob Dotson berkata, mangsa ditemui ketika polis melakukan pemeriksaan kebajikan di rumah tersebut.
Katanya, polis diarahkan untuk ke rumah mangsa bagi melakukan pemeriksaan kebajikan selepas keluarga itu gagal dihubungi sejak sekian lama.
Namun, mereka menemukan lapan mayat yang terdiri daripada tiga dewasa dan lima kanak-kanak setelah ke rumah tersebut.
Pemeriksaan kebajikan berdasarkan panggilan ke jabatan polis adalah perkara rutin apabila individu tertentu tidak dapat dikesan untuk tempoh masa yang panjang.
Terdahulu, pihak berkuasa menerusi kenyataan memaklumkan insiden itu tidak menimbulkan sebarang ancaman kepada orang ramai.
“Kami tidak pasti apa yang berlaku dan tidak mahu berteka-teki,” kata Dotson dalam satu video yang diemel kepada pemberita.
Jelas Dotson, beberapa agensi penguatkuasa undang-undang sedang bekerjasama dalam siasatan yang mungkin berpanjangan.
Sementara itu, Pegawai Sekolah Daerah Iron dalam surat dihantar kepada ibu bapa, mengesahkan lima kanak-kanak itu bersekolah di daerah tersebut. – REUTERS/AGENSI