BEIJING: Selepas menyaksikan tiga tahun pengasingan China dari dunia luar di bawah dasar sifar Covid-19, dikatakan jutaan mahasiswa China yang belajar di luar negara enggan untuk pulang ke tanah air selepas menamatkan pengajian mereka.
Menurut laporan South China Morning Post, data terkini Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO) melaporkan lebih sejuta pelajar republik itu sedang belajar di luar negara dengan kebanyakannya di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia.
KECEWA DENGAN KERAJAAN
Ada dalam kalangan graduan berkata, mereka kecewa dengan kawalan wabak Covid-19 oleh kerajaan yang disifatkan kejam selain prospek pekerjaan mereka juga kurang cerah di negara itu.
Seorang pelajar China yang belajar di University of Southern California dan mahu dikenali sebagai Zoe Qiu berkata, dia takut untuk pulang ke negaranya selepas tamat pengajian kerana dasar kerajaan menjalankan sekatan beberapa bulan di Shanghai awal tahun lalu.
“Motivasi saya untuk tinggal di luar negara berubah daripada bersemangat tentang budaya Barat kepada takut tinggal di China,” katanya.
Dia ketakutan dengan kisah penduduk Shanghai yang merayu untuk makanan apabila bandar itu diperintah kawalan pergerakan pada musim bunga lalu.
“Keadaan yang melampau itu mendorong manusia berada di tahap yang paling teruk. Malah hak asasi hidup berada di bawah ancaman dan itu benar-benar menakutkan,” katanya.
Dia berkata, dia ingin tinggal di luar negara sejak muda dan wabak itu turut menggandakan tekadnya untuk tidak lagi pulang ke tanah air.
CAPAI MATLAMAT POLITIK
Seorang lagi warga China, Stephanie Li yang baru menamatkan pengajian dari Universiti Melbourne pula berkata, banyak pihak berkuasa tempatan di China menggunakan pelbagai cara seperti perintah kawalan pergerakan demi mencapai matlamat politik mereka.
Sehubungan itu, katanya, dia kini tidak sabar untuk tinggal di Australia yang mempunyai persekitaran politik yang tidak ekstrem.
Malah, katanya, perbincangan dalam talian sangat meluas tentang meninggalkan China, malah menimbulkan istilah baharu dalam kalangan pengguna internet China: runxue, yang pada asasnya bermaksud falsafah melarikan diri dari negara itu.
BATU LONCATAN UNTUK BERHIJRAH
Memandangkan pelajar China mungkin mencari pekerjaan sementara di kebanyakan negara selepas menamatkan pengajian, peluang belajar di luar negara sentiasa dilihat sebagai batu loncatan kepada penghijrahan.
Wabak Covid-19 membuatkan graduan lebih bersemangat untuk mengambil pilihan itu.
Sementara itu, Pengarah Institut Antropologi Sosial Max Planck di Jerman yang mengkaji migrasi di China, Xiang Biao berkata, semasa penutupan Shanghai, orang ramai menyedari bahawa itu bukan lagi dasar Covid tetapi keputusan politik dan suara kebimbangan orang ramai dianggap sudah menjadi tidak penting.
Jelasnya, kisah mengerikan tentang kesusahan rakyat sewaktu dasar sifar Covid-19 di tanah air mendorong ramai pelajar China di bandar-bandar di seluruh Asia, Eropah dan Amerika Utara berhimpun di kampus atau di kedutaan China untuk menyokong keluarga dan rakan-rakan.
Bagaimanapun, mereka yang berhijrah akan kekal sebagai suara minoriti kerana kebimbangan praktikal seperti kawalan pasport di China dan dasar imigresen yang ketat di negara lain, kata Biao.
Tetapi, beliau berkata, hubungan antara rakyat dengan kerajaan China sudah pun berubah dan tidak dapat dipulihkan tanpa mengira keputusan penghijrahan tersebut.
Masih terlalu awal untuk melihat jumlah penghijrahan kerana perjalanan masuk dan keluar dari China baru sahaja bermula, menurut Heidi Østbø Haugen, seorang profesor pengajian China di Universiti Oslo.
“Sangat menarik untuk mengikuti bagaimana mobiliti pelajar akan berkembang sekarang apabila pintu sempadan negara lebih terbuka,” katanya.