China tegaskan sudah cukup telus dengan dunia mengenai data Covid-19 - Utusan Malaysia

China tegaskan sudah cukup telus dengan dunia mengenai data Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China menegaskan sudah cukup telus dengan masyarakat antarabangsa mengenai data Covid-19 di negaranya, ketika membalas kritikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai jumlah kematian akibat virus itu tidak selari dengan skala sebenar wabaknya.

Lebih 12 negara mengenakan peraturan baharu Covid-19 ke atas pelawat dari China berikutan wabak itu, yang memerlukan semua ketibaan menyerahkan ujian negatif dengan beberapa saringan air sisa daripada penerbangan yang tiba dari negara paling ramai penduduk di dunia itu.

China hanya merekodkan 23 kematian sejak Disember lalu, selepas secara dramatik mengecilkan kriteria untuk mengklasifikasikan kematian sedemikian.

Statistik Beijing mengenai gelombang baharu Covid-19 dilihat secara meluas oleh negara lain sebagai tidak mencerminkan realiti.

Di Geneva semalam, Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan berkata organisasi global itu tidak mempunyai data lengkap dari China.

“Kami percaya bahawa jumlah semasa yang diterbitkan dari China kurang menggambarkan kesan sebenar penyakit itu dari segi kemasukan ke hospital, kemasukan ke ICU, dan khususnya dari segi kematian. Definisi yang digunakan Beijing adalah sangat sempit,” tambahnya.

Beijing membalas kenyataan itu dengan menegaskan China sentiasa berkongsi maklumat dan data yang relevan dengan masyarakat antarabangsa melalui sikap terbuka dan telus.

“Kami berharap sekretariat WHO akan menegakkan kedudukan saintifik, objektif dan adil, dan berusaha memainkan peranan positif bagi respons dunia terhadap cabaran pandemik,” kata jurucakap Kementerian Luar, Mao Ning pada taklimat akhbar semalam.

Beliau turut menggesa negara-negara lain supaya tidak mengenakan sekatan perjalanan baharu ke atas ketibaan dari China, sebaliknya menyeru mereka untuk bekerjasama untuk melindungi pergerakan normal orang ramai.

Negara-negara Kesatuan Eropah (EU)juga menyuarakan kebimbangan kepada WHO mengatakan data China mengenai jangkitan Covid-19 tidak mencukupi.

Ketika negara-negara bergelut dengan tindak balas terbaik terhadap lonjakan kes, mesyuarat krisis pakar EU berkata, pada hari negara anggota sangat digalakkan untuk meminta ujian Covid-19 daripada penumpang yang datang dari China.

Mesyuarat itu diadakan untuk menyelaraskan tindak balas bersama EU terhadap kemasukan pelawat secara tiba-tiba apabila Beijing menarik balik dasar sifar-Covid, yang sebahagian besarnya telah menutup negara itu daripada perjalanan antarabangsa.

Pakar juga mengesyorkan agar penumpang yang ingin pergi atau pulang dari China memakai topeng muka dan negara EU menjalankan ujian rawak ke atas ketibaan termasuk menguji sisa air kumbahan penerbangan dari China.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus sebelum ini memberitahu pemberita bahawa pegawai organisasi itu telah mengadakan perbincangan peringkat tinggi dalam beberapa minggu lalu dengan rakan sejawatannya di China.

“Kami terus meminta China untuk data yang lebih pantas, tetap, boleh dipercayai mengenai kemasukan ke hospital dan kematian serta penjujukan virus masa nyata yang lebih komprehensif,” kata Tedros.

Beliau mengulangi bahawa agensi kesihatan PBB memahami mengapa beberapa negara memperkenalkan sekatan Covid-19 baharu kepada pengunjung dari China.

“Dengan penyebaran di China yang begitu tinggi dan data komprehensif tidak dikeluarkan, dapat difahami bahawa sesetengah negara mengambil langkah yang mereka percaya akan melindungi rakyat mereka sendiri,” katanya.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya