AUSTIN: Seekor belut gergasi ditemukan terdampar di sebuah pantai di Rizab Mission-Aransas di Texas, Amerika Syarikat (AS).
Lapor portal UPI, spesies ikan berkenaan ditemukan oleh Pengarah Rizab Institut Sains Marin Universiti Texas, Jace Tunnell, baru-baru ini.
Tunnell dalam satu video dimuat naik di laman Facebook Rizab Mission-Aransas memaklumkan spesies belut Amerika itu dianggap terancam dan jarang dijumpai.
Katanya, belut yang ditemukan terdampar itu amat jarang dijumpai disebabkan saiz luar biasanya.
Dilaporkan, spesies belut terbesar yang pernah ditangkap hidup-hidup di Texas berukuran kira-kira 1.06 meter.
“Spesies ini lebih besar berbanding belut biasa yang anda lihat,” kata penyelidik itu dalam video tersebut.
Menurut Tunnell, spesies belut itu berkemungkinan betina yang mati selepas bertelur di luar pesisir pantai.
Spesies belut di Amerika adalah ikan air tawar namun haiwan itu ke laut untuk bertelur sebelum mati.
Setiap spesies belut boleh bertelur sehingga empat juta biji telur.