AS pulang semula keranda purba curi milik Mesir - Utusan Malaysia

AS pulang semula keranda purba curi milik Mesir

SARKOFAGUS kayu purba dipamerkan di Muzium Sains Asli Houston di Amerika Syarikat (AS) dipulangkan semula kepada Mesir. - AGENSI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Muzium Sains Asli Houston di Amerika Syarikat (AS) memulangkan semula sebuah sarkofagus kayu purba dikenali sebagai `Keranda Hijau’ kepada Mesir selepas ia dipamerkan di muzium berkenaan.

Keranda purba itu dipulangkan selepas pihak berkuasa AS mendapati ia dicuri beberapa tahun lalu.

Lapor Al Jazeera, proses repatriasi (penghantaran semula)  itu merupakan sebahagian usaha kerajaan Mesir menghentikan penyeludupan barangan antik yang dicuri.

Pegawai tertinggi Majlis Antikuiti Mesir, Mostafa Waziri berkata, sarkofagus tersebut dipercayai berasal dari era dinasti purba Mesir, pada tahun 664 sebelum Masihi.

Katanya, sarkofagus berukuran tiga meter tinggi yang berwarna terang itu dipercayai milik seorang ‘paderi’ bernama Ankhenmaat walaupun inskripsi di atas permukaan keranda itu tidak kelihatan.  

Artifak purba itu diserahkan secara simbolik dalam satu majlis susulan sidang akhbar diadakan oleh Chargé d’affaires Kedutaan AS di Mesir, Daniel Rubinstein, kelmarin.

Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry dan Menteri Pelancongan dan Antikuiti, Ahmed Issa turut hadir dalam majlis tersebut.

Penyerahan itu dilakukan lebih tiga bulan selepas Mahkamah Daerah Manhattan mengesahkan keranda itu dicuri dari Abusir Necropolis, utara Kaherah.

Menurut Peguam Daerah Manhattan, Alvin L Bragg, keranda purba itu dipercayai diseludup menerusi Jerman ke AS pada tahun 2008.   

Pada 2021, pihak berkuasa Kaherah berjaya mendapatkan semula 5,300 artifak yang dicuri dari seluruh dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya