Ancaman nyamuk kebal semakin meningkat di Asia - Utusan Malaysia

Ancaman nyamuk kebal semakin meningkat di Asia

PEKERJA menyembur racun serangga untuk menangani pembiakan nyamuk denggi di sebuah hospital di Amritsar. - AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Nyamuk yang menyebabkan demam denggi dan jangkitan virus lain dikesan mempunyai daya tahan tinggi terhadap racun serangga di rantau Asia.  

Justeru, para penyelidik memberi amaran pendekatan baharu dan langkah drastik amat diperlukan bagi menangani masalah tersebut.

Pihak berkuasa kesihatan biasanya melakukan semburan racun serangga di kawasan pembiakan nyamuk, namun, rintangan dialami itu sudah lama menjadi kebimbangan dengan skala masalah dihadapi tidak difahami dengan baik.    

Penyelidik dari Jepun, Shinji Kasai bersama pasukannya mengkaji jenis nyamuk dari beberapa buah negara di Asia dan Ghana.

Kumpulan penyelidik itu mengesan siri mutasi yang mengakibatkan bahan kimia tertentu berasaskan piretroid seperti permethrin, namun, hampir tidak bertahan.

“Di Kemboja, lebih 90 peratus nyamuk Aedes aegypti mempunyai gabungan mutasi mengakibatkan tahap rintangan yang sangat tinggi,” katanya.

Beliau turut mendapati beberapa strain nyamuk mempunyai rintangan 1,000 kali ganda, berbanding 100 kali ganda yang dilihat sebelum ini.

Ia bermakna paras racun serangga yang biasanya membunuh hampir 100 peratus nyamuk dalam sampel, kini hanya membunuh kira-kira tujuh peratus serangga itu.

Malah, satu dos yang 10 kali lebih kuat kini hanya membunuh 30 peratus daripada nyamuk berdaya tahan tinggi itu.

“Tahap rintangan yang kami temukan dalam nyamuk di Kemboja dan Vietnam adalah amat berbeza,” kata Kasai yang juga pengarah Jabatan Entomologi Perubatan di Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan Jepun.

Berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), denggi boleh mengakibatkan demam berdarah dan menjangkiti sekitar 100 hingga 400 juta orang setahun, walaupun lebih 80 peratus kes adalah ringan atau asimptomatik.

Beberapa vaksin denggi telah dibangunkan dan penyelidik juga pernah menggunakan bakteria yang memandulkan nyamuk untuk menangani virus itu.

Bagaimanapun, tiada satu pun pilihan yang berupaya membasmi denggi, malah nyamuk Aedes aegypti turut membawa penyakit lain termasuk zika dan demam kuning. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya