CIANJUR: Ombak setinggi empat hingga enam meter berpotensi berlaku di perairan selatan Cianjur di Jawa Barat dan Cilacap di Jawa Tengah.
Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) merayu orang ramai yang tinggal dan bekerja di sekitar kawasan yang berkemungkinan berlaku ombak besar supaya berwaspada.
Ketua Balai Geofizik BMKG Bandung, Teguh Rahayu berkata, amaran awal itu bukan sahaja ditujukan kepada masyarakat pesisir pantai, tetapi juga untuk nelayan dan kapten kapal besar seperti kapal kargo, tongkang dan feri.
AJelas beliau, potensi gelombang tinggi dijangka berlaku hingga esok pagi.
“Komuniti pesisir pantai dan aktiviti perkapalan digesa meningkatkan kewaspadaan terhadap keadaan cuaca ekstrem ini,” katanya.
Tambah Teguh, potensi gelombang tinggi di perairan selatan Jawa Barat juga berkemungkinan berlaku di perairan Sukabumi, Tasikmalaya dan Pengandaran.
“Ombak laut di perairan selatan berpunca daripada corak angin dominan yang bergerak dari barat daya ke barat laut dengan kelajuan angin lapan hingga 35 knot,” katanya.
Selain ombak besar, potensi cuaca ekstrem juga akan berlaku di kawasan wilayah Cilacap seperti angin kencang yang boleh mencapai 60 kilometer sejam.
“Justeru, pokok besar dan rapuh harus dipotong. Atap yang tidak dipasang dengan betul juga memerlukan perhatian.
“Kami juga merayu peniaga yang berada di kawasan pelancongan pantai supaya dapat mengalihkan barangan dagangan mereka sebelum terjejas. Nelayan juga diminta tidak melakukan aktiviti di laut,” kata Ketua Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Cilacap, Wijonardi.-AGENSI