KYIV: Russia memaklumkan lebih 60 anggota tenteranya terbunuh dalam serangan dilancarkan oleh Ukraine di wilayah dikuasai Moscow, pada malam Tahun Baharu.
Menurut Kementerian Pertahanan Russia, seramai 63 anggota tentera terbunuh dalam empat serangan peluru berpandu di bandar Makiivka, timur Ukraine.
Ia sekali gus dilihat sebagai insiden menyebabkan kehilangan nyawa paling ramai yang pernah dilaporkan oleh Kementerian Pertahanan Russia setakat ini dalam konflik berlarutan sejak Presiden Vladimir Putin mengarahkan pasukan tenteranya menceroboh Ukraine pada 24 Februari tahun lalu.
Kementerian Pertahanan Russia turut mendakwa tentera Ukraine menggunakan pelancar roket HIMARS yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat (AS) dalam serangan tersebut.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Ukraine mengaku melakukan serangan itu, sambil menyatakan kejadian tersebut berlaku ketika orang ramai meraikan sambutan tahun baharu.
“Kira-kira 10 unit pelbagai jenis aset ketenteraan musuh musnah dan rosak,” kata kakitangan Am Angkatan Tentera Ukraine.
Terdahulu, jabatan komunikasi strategik kementerian pertahanan Ukraine mengesahkan lebih 400 anggota tentera Russia terkorban dalam serangan itu.
Sementara itu, beberapa media melaporkan ratusan orang mungkin terbunuh dalam serangan ke atas sebuah kolej vokasional di Makiivka.
Laporan tersebut turut mendakwa komander tertinggi Russia tidak belajar dari kesilapan lalu.
Bekas ketua pemisah Russia, Igor Strelkov berkata, sebahagian besar anggota tentera ditempatkan di sebuah bangunan yang `hampir musnah sepenuhnya’ disebabkan simpanan peluru dalam premis itu meletup dalam serangan tersebut.
Katanya, ratusan orang terbunuh dan mengalami kecederaan. – AFP