SYDNEY: Satu daripada projek saintifik terbesar pada abad ini sudah memulakan fasa pembinaannya semalam.
The Square Kilometre Array (SKA) bakal menjadi teleskop radio terbesar dunia apabila ia dijangka siap pada 2028.
Dibina secaea berperingkat di Afrika Selatan dan Australia, dengan ibu pejabat berpangkalan di United Kingdom (UK), kemudahan itu bakal menjadi penyelesaian kepada semua permasalahan dalam bidang astrofizik.
Teleskop itu akan menjalankan ujian mengenai teori Einstein dan mengkaji lebih banyak tentang angkasa lepas.
“Ini adalah saat yang semua orang tunggu. Projek ini menyaksikan perjalanan selama 30 tahun dengan 10 tahun pertama pelbagai pihak bertungkus-lukus membangunkan konsep dan idea.
“Bagi 10 tahun kedua pula, kami menghabiskan masa untuk membangunkan teknologi dan selebihnya digunakan untuk memulakan projek ini secara nyata,” kata Prof. Phil Diamond, Ketua Pengarah Square Kilometre Array Organisation.
Teleskop itu dijangka dapat mengesan isyarat radio yang sangat samar yang datang dari sumber kosmik berbilion tahun cahaya dari Bumi, termasuk isyarat yang dipancarkan dalam beberapa ratus juta tahun pertama selepas ‘Big Bang’.