Tanjung Pengelih laluan khas PATI Indonesia - Utusan Malaysia

Tanjung Pengelih laluan khas PATI Indonesia

PUSAT Pelabuhan Antarabangsa Batam. - AGENSI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Batam di Kepulauan Riau bukan sahaja dilihat sebagai akses paling dekat bagi para penduduk Indonesia yang ingin mengunjungi Malaysia dan Singapura.

Namun, bandar itu sehingga kini kekal menjadi destinasi utama bagi kebanyakan pekerja migran Indonesia tanpa dokumen perjalanan sah atau dianggap pekerja asing tanpa izin (PATI) yang cuba memasuki Malaysia menerusi Tanjung Pengelih.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Keselamatan Migran dan Pastoral Luar Negara Kepulauan Riau, Chrisanctus Paschalis, walaupun Batam mempunyai banyak laluan haram, namun ia juga memiliki laluan sah bagi golongan pekerja yang ingin mencuba nasib di Malaysia.

“Sebenarnya, maklumat ini sudah ada lama dan baru-baru ini saya membuktikan sendiri. Sudah tentu, pekerja migran ini tidak memasuki melalui pintu belakang.

“Golongan ini boleh berlepas menerusi pelabuhan rasmi, malah dokumen imigresen mereka dicop berdasarkan peraturan perjalanan warga asing,” katanya sepertimana dilaporkan Kompas.com.     

Berhubung laluan itu, Chrisanctus mengakui ia boleh diakses oleh PATI melalui Pusat Pelabuhan Antarabangsa Batam.

Katanya, matlamat golongan itu adalah untuk ke Pelabuhan Tanjung Pengelih di Johor Bahru yang mana laluan itu jarang digunakan bagi tujuan pelancongan ke Malaysia.

Laluan Tanjung Pengelih dikatakan jarang digunakan oleh pelancong kerana jarak ke pusat bandar Johor mengambil masa dua jam dan ke Kuala Lumpur selama empat jam melalui jalan darat.

“Kawasan Tanjung Pengelih ini sebenarnya lebih kepada kawasan perindustrian. Secara logiknya, ia bukan pelabuhan kegemaran ramai untuk memulakan perjalanan cuti mereka,” katanya.

Sementara itu, Chrisanctus mendakwa pihaknya turut menerima maklumat daripada beberapa PATI Indonesia bahawa mereka berjaya memasuki negara itu walaupun dokumen imigresen dicop sebagai `disenarai hitam’.

Dakwanya, kumpulan pekerja itu mengakui cop senarai hitam pada pasport mereka boleh `dipadamkan’ sekiranya ejen mendepositkan sejumlah wang kepada pegawai di lapangan.        

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya