'Selamat tinggal O Rei kesayangan kami'

‘Selamat tinggal O Rei kesayangan kami’

IMEJ legenda bola sepak Brazil, Pele dipaparkan menerusi skrin besar di ibu pejabat Persekutuan Industri Sao Paulo selepas berita kematiannya diumumkan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAO PAULO: Sebaik sahaja mendapat berita mengenai kematian legenda bola sepak, Pele, Antonio Pereira dan anak lelakinya segera berlari ke hospital.

Pereira dan anak lelakinya, Luis Eduardo, 12, merupakan antara jutaan penduduk Brazil yang bersedih dengan kematian bintang bola sepak itu.

Mereka menyertai ratusan orang ramai yang berhimpun di luar Hospital Israelita Albert Einstein di sini kelmarin selepas keluarga Pele mengesahkan beliau meninggal dunia pada usia 82 tahun.

ORANG ramai dan petugas media berhimpun di luar perkarangan hospital yang menempatkan mendiang Pele di Sao Paulo, Brazil. – AFP

“Beliau (Pele) merupakan idola terhebat kami, pemain bola sepak paling agung sepanjang zaman.

“Saya sentiasa berharap dapat bergambar dengan Pele suatu hari nanti, namun impian saya tidak kesampaian,” kata Pereira kepada AFP.

Terdahulu, dia dan anaknya berlari sejauh 1.5 kilometer ke hospital bagi melihat sendiri situasi yang merenggut emosi penduduk Brazil.

Memakai jersi bola sepak, anak Pereira juga menyatakan kesediha kerana tidak berpeluang menyaksikan kelincahan Pele di atas padang, namun dia membesar dengan pelbagai cerita menarik mengenai kehebatan bintang bola sepak tersebut.

“Pele merupakan nama pertama yang saya dengar dalam arena bola sepak di negara ini. Beliau dinobatkan sebagai pemain terhebat sepanjang zaman,” ujar Luis.

Selain itu, orang ramai turut meletakkan jambangan bunga di luar stadium kelab yang menyaksikan Pele menghabiskan sebahagian besar kariernya, iaitu Santos.

Bandar itu turut mengisytiharkan tujuh hari berkabung sebagai menghormati Pele.

Di peringkat kebangsaan pula, kerajaan Brazil mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari.

Sao Paulo, Santos dan tempat kelahiran Pele, Tres Coracoes juga menjadi perhatian petugas media daripada seluruh dunia yang ingin membuat liputan mengenai pemergian bintang tersebut.

‘RAJA YANG TIDAK PERNAH MATI’

Digelar sebagai ‘O Rei’ atau Raja, Pele merupakan antara pemain bola sepak Brazil yang paling banyak mendapat perhatian daripada pelbagai pihak di seluruh dunia berikutan kelincahan aksinya di atas padang.

Sepanjang bergelar pemain bola sepak profesional, Pele sudah menaringkan lebih 1,000 gol dan membawa pasukan Brazil memenangi Piala Dunia sebanyak tiga kali.

Penglibatannya dalam dunia bola sepak menjadikan Brazil sebagai antara nama terbesar dalam sukan tersebut, selain digeruni pihak lawan.

PEMERGIAN DITANGISI

Di sebuah kawasan kejiranan di Morumbi yang berhampiran dengan hospital menempatkan mendiang Pele, penduduk sekitarnya menangis apabila mendapat berita kematian bintang tersebut, selain mereka mengibarkan bendera Santos dan kain rentang tertulis ‘Pele Raja yang Tidak akan Mati’.

“Kami datang ke hospital kerana ingin mengucapkan selamat tinggal kepada Pele dan saya rasa semua pihak boleh berbuat demikian.

“Pele mewakili minat dan semangat kami dalam dunia bola sepak. Semua yang mahu bermain bola sepak pasti akan menjadikan beliau sebagai sumber inspirasi,” kata Jose Carlos Souza Santos, 43.

Seorang konsultan, Alipio Bedaque pula memaklumkan, dia bergegas ke hospital sambil menyarung jersi Santos tahun 1956 yang menyaksikan penampilan sulung Pele dalam kelab tersebut.

“Saya masih ingat menyaksikan aksi Pele bersama Santos ketika itu. Mata anda hanya tertumpu pada beliau.

“Setiap aksinya amat berharga untuk disaksikan dan kita semua sentiasa tertunggu-tunggu apa yang akan beliau lakukan setiap kali bergerak.

“Pele dan Santos merupakan faktor utama saya jatuh cinta kepada bola sepak,” jelasnya. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya