RIO DE JANEIRO: Sekurang-kurangnya dua maut manakala puluhan lagi mangsa hilang akibat tanah runtuh yang menimbus sebahagian lebuh raya di selatan Brazil.
Turut tertimbus akibat tragedi itu ialah sekurang-kurangnya 20 kereta dan lori.
Banjir lumpur menuruni kawasan bukit curam sejak Isnin lalu selepas hujan lebat selama beberapa hari di negeri Parana, sebelum menimbusi lebuh raya BR 367.
Menurut Ketua Pasukan Kecemasan tempatan, Manoel Vasco, hujan lebat menyebabkan aliran lumpur mengalir laju menuruni lereng bukit yang curam dan menyebabkan kemalangan.
Jelasnya, cuaca buruk dan lokasi kejadian yang jauh di pedalaman menyukarkan usaha menyelamat yang turut menggunakan dron dipasang kamera pengesan haba dengan harapan dapat mengesan mangsa masih hidup.
“Sukar untuk mengetahui jumlah sebenar mangsa. Sebuah kenderaan boleh memuatkan satu hingga lima orang. Kami sedang berusaha dengan anggaran 30 hingga 50 orang hilang,” katanya pada sidang akhbar.
Dua mayat ditemukan setakat ini dan enam mangsa terselamat termasuk datuk bandar pantai Guaratuba.
Brazil kerap dilanda tanah runtuh yang membawa maut, di mana pada Februari lalu, lebih 200 orang terbunuh dalam tragedi tanah runtuh di bandar pelancongan Petropolis, Brazil. – AFP