JAKARTA: Misteri penemuan potongan jari manusia dalam sup sayur di Nusa Tenggara Timur, Indonesia masih belum terungkai biarpun kejadian itu sudah berlaku hampir seminggu lalu.
Lapor CNN Indonesia, pihak berkuasa masih gagal mengenal pasti identiti pemilik jari tersebut walaupun beberapa saksi telah disoal siasat.
Baru-baru ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Belu, Djafar Awad Alkatiri berkata, potongan jari itu ditemukan di dalam tauhu dalam sup sayur tersebut.
Katanya, perkara itu diketahui selepas meneliti laporan penduduk bernama, Petrus Watu yang membuat aduan mengenai kejadian itu.
Menurut Djafar, berdasarkan keterangan Petrus, potongan jari itu ditemukan ketika dia sedang menikmati tauhu dalam sup sayur tersebut.
“Terdapat campuran sayur, tempe dan tauhu yang dimasak dalam sup sayur itu.
“Apabila Petrus sedang menikmati tauhu dalam hidangan sup itu, dia menemukan potongan jari manusia,” katanya.
Jelas Djafar, pihaknya masih sedang menjalankan siasatan berhubung penemuan potongan jari dalam sup sayur.
Kata beliau, siasatan sebelum ini tertumpu pada pekerja yang bekerja di warung makan atau kilang memproses tauhu.
Bagaimanapun, katanya, hasil siasatan di kedua-dua lokasi mendapati tiada pekerja mengalami kecederaan jari mahupun kes kemalangan tempat kerja dilaporkan.
Ketika ini, potongan jari itu disimpan di bilik mayat Hospital Titus Uly.