TOPEKA: Pasukan bertindak kecemasan di Kansas bersiap sedia untuk membersihkan tumpahan minyak mentah terbesar di Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh hampir sedekad.
Persiapan itu dibuat susulan kejadian saluran paip Keystone pecah secara misteri.
Lapor Daily Mail, menurut pegawai, saluran paip yang menyalurkan minyak mentah dari Kanada ke Oklahoma itu kehilangan kira-kira 14,000 tong minyak atau 588,000 gelen.
Ia dilihat sebagai tumpahan minyak yang lebih besar berbanding semua pelanggaran gabungan sistem Keystone itu sebelum ini.
Tumpahan itu menyebabkan pencemaran di anak sungai yang merentasi padang rumput luar bandar di Washington County, Kansas.
Malah, bau minyak yang kuat juga dikesan menyelubungi di ruang udara kawasan berkenaan.
Beberapa kenderaan berat seperti treler traktor membawa penjana, lampu dan tikar tanah ke lokasi kejadian untuk operasi pembersihan.
Pasukan penyiasat Persekutuan berada di lokasi kejadian bagi menyiasat punca kebocoran di Keystone.
Saluran paip Keystone membawa sebanyak 622,000 barel minyak sehari dari barat Kanada ke kilang penapisan dan hab eksport AS.
Sementara itu, pengendali saluran paip TC Energy memaklumkan pihaknya bercadang untuk memulakan semula saluran itu yang ditutup sejak Rabu lalu.
Bagaimanapun, syarikat itu tidak menyatakan sebarang maklumat mengenai punca pelanggaran mahupun tarikh khusus untuk memulakan semula saluran tersebut.
Menurut syarikat itu, pihaknya akan menjalankan siasatan penuh berhubung punca insiden tumpahan minyak itu.
“Ketika kejadian, saluran paip itu beroperasi mengikut kapasiti dan piawai yang ditetapkan,” jelas syarikat itu dalam kenyataan.
Dilaporkan, tumpahan minyak Keystone sebelum ini menyebabkan gangguan saluran paip kira-kira dua minggu.