KINSHASA: Lebih 120 orang terkorban dalam banjir terburuk yang pernah direkodkan selama beberapa tahun di ibu negara Congo ekoran hujan lebat tanpa henti sepanjang malam, lapor pihak berkuasa.
Angka kematian yang direkodkan sebelum ini iaitu seramai 55 kes, meningkat kepada lebih 120 mangsa.
Beberapa jalan raya di sekitar pusat bandar Kinshasa, yang menempatkan kira-kira 15 juta penduduk, ditenggelami air selama berjam-jam sehingga menyebabkan laluan bekalan utama terputus.
Susulan itu, kerajaan mengumumkan tiga hari tempoh berkabung di seluruh negara.
Dalam pada itu, Ketua Polis Kinshasa, Jeneral Sylvano Kasongo berkata, kebanyakan kematian berlaku di kawasan lereng bukit yang merupakan lokasi kejadian tanah runtuh.
Seorang wartawan AFP di lokasi kejadian menyaksikan sendiri mayat sembilan mangsa dari satu keluarga termasuk kanak-kanak yang meninggal dunia selepas rumah mereka runtuh dalam kejadian itu di daerah Binza Delvaux.
Satu kejadian tanah runtuh besar berlaku di daerah berbukit di Mont Ngafula sehingga menjejaskan Lebuhraya Nasional 1 yang menjadi laluan bekalan utama menghubungkan ibu negara dengan pelabuhan Matadi.
Perdana Menteri, Jean-Michel Sama Lukonde berkata, kira-kira 20 orang terkorban di tempat kejadian selepas kediaman mereka dihanyutkan.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang dijalankan.
Sementara itu, Presiden Republik Demokratik Congo, Felix Tshisekedi menyalahkan perubahan iklim sebagai punca banjir besar yang meragut lebih 100 nyawa di Kinshasa.
Katanya, Congo berada di bawah tekanan namun malangnya negara itu tidak menerima sokongan yang secukupnya.
“Bencana banjir yang berlaku ketika ini adalah contoh masalah dihadapi sejak sekian lama.
“Sokongan harus datang dari negara-negara mencemari dan mencetuskan implikasi berbahaya seperti ini di Congo yang tidak mempunyai pendekatan berkesan untuk melindungi negara sendiri,” katanya.
Tshisekedi berkata demikian kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken dalam satu pertemuan di sidang kemuncak AS-Afrika di Washington. – AFP