JAKARTA: Badan Meteorologi, Iklim dan Geofizik Indonesia (BMKG) memberi amaran kebakaran hutan secara besar-besaran dijangka berlaku pada Ogos hingga September tahun depan.
Hal ini kerana, musim kemarau tahun depan diramal lebih kering dan panas berbanding dua tahun lalu termasuk tahun ini.
Sehubungan itu, semua pihak perlu peka dengan keadaan semasa dalam usaha membendung kebakaran hutan berlaku.
Ketua BMKG, Dwikorita Karnawati berkata, musim kemarau yang lebih teruk juga diramalkan pada 2023 kerana tabura hujan yang sedikit berbanding tahun ini.
“Antara kawasan yang perlu diberi perhatian yang berisiko menyebabkan kebakaran hutan besar-besaran adalah Sumatera Utara, Riau dan Aceh.
“Dalam hal ini, semua pihak perlu memainkan peranan, jangan lakukan sebarang tindakan yang boleh memburukkan keadaan, termasuk sengaja membakar kawasan pertanian bagi membolehkan tanaman baru dihasilkan.
“Tahun ini, kebakaran hutan dan tanah adalah terkawal dan kita harapkan situasi serupa pada tahun depan,” katanya seperti yang dilaporkan Tribunnews.
Sementara itu, Kementerian Alam Sekitar juga memaklumkan pihaknya sudah mengambil beberapa langkah awal untuk memastikan kebakaran hutan dapat dikawal pada tahun depan, termasuk memantau rapi titik panas di lokasi berisiko.