JAKARTA: Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto bertemu rakan sejawatnya dari pelbagai negara dalam usaha memuktamadkan beberapa perjanjian perolehan peralatan ketenteraan baharu bagi menggantikan sebahagian besar aset yang sudah berusia di negara itu.
Pada 25 November lalu, Prabowo dilaporkan bertemu rakan sejawatnya dari Perancis, Sebastien Lecornu di Jakarta untuk membincangkan pembelian dua kapal selam Scorpene.
Indonesia turut menempah 42 jet pejuang Rafale buatan Perancis bernilai AS$8.1 bilion (RM35.3 bilion) pada Februari lalu.
Terdahulu pada bulan November, Prabowo mengalu-alukan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin ke Jakarta bagi membincangkan rancangan untuk membeli jet pejuang F-15.
“Rundingan berjalan dengan sangat baik. Kami pastinya menyokong usaha Prabowo untuk terus memodenkan sistem serta keupayaan pertahanan mereka dan kami mahu terus membantu dalam apa jua cara yang kami mampu,” jelas Austin.
Penganalisis memberitahu portal Channel News Asia, keputusan Indonesia untuk memperbaharui peralatan tenteranya yang sudah tua adalah tepat pada masanya.
Bagaimanapun, melihat kepada strategi perolehan pertahanan negara, kemungkinan terdapat masalah termasuk sama ada peralatan itu boleh berfungsi dengan baik antara satu sama lain.
Memandangkan keluasan kepulauan Indonesia yang mencecah lebih 5,000 kilometer (km) dari timur ke barat dan lebih 1,700 km dari utara ke selatan, pemerhati berkata, peralatan ketenteraannya kemungkinan tidak mencukupi.
“Tenggelamnya kapal selam Indonesia KRI Nanggala 402 pada tahun lalu menunjukkan peralatan ketenteraan negara semakin tua.
“Sebenarnya perolehan peralatan itu adalah untuk menggantikan yang sudah berusia sekitar 30 hingga 50 tahun. Ini adalah langkah yang sangat munasabah,” jelas Penganalisis Pertahanan, Alman Helvas Ali.
KRI Nanggala 402 yang dibina di Jerman pada 1981, menyertai latihan torpedo di perairan utara Bali sebelum dilaporkan hilang secara tiba-tiba.
Selepas beberapa hari usaha mencari dengan bantuan Singapura, Malaysia dan Australia, Ketua Tentera mengumumkan kapal berkenaan karam, membunuh kesemua 53 anak kapal.
Dalam usaha untuk menggantikan peralatan lama, Indonesia turut meningkatkan belanjawan pertahanannya kepada 133 trilion rupiah (RM37 bilion) berbanding 118.2 trilion rupiah (RM33.2 bilion) tahun lalu.
Selain jet pejuang Rafale dari Perancis, Indonesia turut menandatangani kontrak untuk menempah dua pesawat Airbus A400M bagi meningkatkan keupayaan taktikal tentera udara serta misi tindak balas bencananya.
Indonesia juga bekerjasama dengan Turki untuk membangunkan simulator menembak, payung terjun dan penerbangan termasuk menandatangani kontrak dengan Roketsan bagi pembelian peluru berpandu Khan.