SURABAYA: Gunung Berapi Semeru di Lumajang, Jawa Timur kembali meletus dengan mengeluarkan debu panas setinggi tujuh kilometer ke udara, menyebabkan sejumlah penduduk di kawasan sekitar terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan.
Seorang penduduk yang dikenali sebagai Ahmad Samiludin berkata, debu panas yang dihamburkan gunung berapi itu lebih pekat berbanding sebelum ini.
“Aliran laharnya juga turun lebih cepat. Doakan kami selamat di sini, selain ramai penduduk sudah berpindah ke kawasan selamat,” katanya seperti yang dilaporkan CNN Indonesia.
Pusat Vulkanologi dan Pencegahan Bencana Geologi (PVMBG) melaporkan, gunung berapi itu masih mengeluarkan debu panas sehingga pagi ini.
“Kami sudah berada di pos pemantau dan debu panas masih dikeluarkan,” kata jurucakap pihak berkuasa, Joko Sambang.
Jelasnya, debu panas itu kini terarah ke selatan Lumajang dab sehubungan itu, penduduk di kawasan sekitar diminta mengehadkan aktiviti sehingga keadaan kembali stabil.
Joko juga memberitahu, penduduk di kawasan sekitar sudah diberikan pelitup muka sebagai langkah berhati-hati.