BANTEN: Warga daerah Serang di Banten dikejutkan dengan penemuan dua bayi yang disyaki dibuang ibu bapa mereka di dua lokasi berbeza pada waktu yang hampir sama.
Lapor portal Kompas.com, seorang bayi lelaki baru lahir ditemukan di sebuah warung di Kampung Tancang di Cinangka pada malam Ahad lalu oleh pemilik warung berkenaan.
Suhada, 50, berkata, bayi yang masih bertali pusat itu diletakkan di dalam sebuah beg berwarna merah yang ditinggalkan di hadapan gerainya.
“Apabila membuka beg, saya dan isteri terkejut kerana tali pusat masih melekat pada badan bayi itu. Bayi kecil itu masih hidup walaupun hanya berbalut sehelai kain berwarna coklat,” jelasnya.
Suhada kemudian segera melaporkan penemuan itu kepada pegawai polis Cinangka sebelum bergegas ke Pusat Kesihatan Cinangka untuk memotong tali pusat dan mendapatkan rawatan.
Dalam kejadian berasingan, seorang bayi perempuan ditemui di hadapan rumah penduduk di Blok D2 di Desa Nagara pada awal pagi keesokan harinya.
Ketua Polis Daerah Cikande, Andhi Kurniawan berkata, bayi itu ditemui dalam keadaan telanjang di antara pasu bunga di hadapan rumah seorang penduduk dikenali sebagai Edi Susanto.
“Saksi, Edi Susanto sedang membelek pokok-pokok bunga di hadapan rumahnya dan menyangka ada ada anak patung diletakkan di kawasan itu.
“Namun selepas diteliti lebih dekat ternyata itu adalah seorang bayi perempuan baru lahir yang masih hidup ditinggalkan dalam keadaan berbogel tanpa dibalut kain,” jelas Andhi menerusi satu kenyataan bertulis.
Menurut Andhi, ketika ini bayi perempuan itu berada di Pusat Kesihatan Kibin dan pasukan polis di Cikande serta Cilegon sedang berusaha mengesan individu yang bertanggungjawab membuang dua bayi berkenaan.