MELBOURNE: Bayam beracun mencetuskan amaran kesihatan segera di Australia selepas ramai yang memakannya mengalami penyakit teruk dan halusinasi.
Sembilan orang dilaporkan memerlukan rawatan perubatan selepas memakan bayam Riviera Farms dari Costco.
Pihak berkuasa kesihatan berkata, simptom yang dialami termasuk kecelaruan, degupan jantung yang meningkat dan penglihatan kabur.
Riviera Farms berkata, pihaknya percaya bayam tersebut dicemari oleh rumpai, tetapi mengesahkan tiada produk lain yang terjejas.
Kementerian Kesihatan New South Wales memberi amaran mana-mana jenama paket bayam dengan tarikh luput pada 16 Disember adalah tidak selamat untuk dimakan dan harus dibuang.
Kementerian itu juga menggesa sesiapa yang mengalami sebarang gejala luar biasa selepas memakan bayam supaya segera mendapatkan rawatan di hospital.
“Tiada yang meninggal dunia sehingga kini tetapi kami agak gusar kerana mereka yang mengalami masalah selepas makan bayam tercemar itu mengalami tahap halusinasi yang ketara, di mana mereka melihat perkara yang tidak ada,” jelas Pakar Pusat Maklumat Racun negeri, Dr Darren Roberts kepada Sydney Morning Herald.
Jurucakap Riviera Farms berkata, syarikat itu telah mengambil tindakan segera, meminta kedai mengeluarkannya daripada rak.
Kesemua mereka yang terjejas setakat ini adalah dari Sydney, dan pihak berkuasa masih menyiasat perkara tersebut di kawasan-kawasan lain.