KYIV: Sebanyak lapan kedutaan Ukraine di Eropah dilaporkan menerima `bungkusan berdarah’ yang mengandungi mata haiwan.
Lapor BBC, Kementerian Luar Ukraine memaklumkan bungkusan berdarah itu dihantar ke kedutaan di Hungary, Itali, Belanda, Poland, Croatia, Austria dan Sepanyol.
Menurut polis di Czech, bungkusan demikian turut ditemukan di kedutaan Ukraine di negaranya.
Setakat ini, tidak dapat dipastikan identiti individu yang menghantar bungkusan tersebut ke kedutaan dan konsulat berkenaan.
Menteri Luar Dmytro Kuleba menyifatkan kejadian itu sebagai satu `tindakan keganasan dan ugutan yang terancang’.
Baru-baru ini, seorang pengawal keselamatan cedera selepas bom surat meletup di Kedutaan Ukraine di Madrid, Sepanyol.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Ukraine, Oleg Nikolenko memaklumkan pintu masuk ke premis duta Ukraine ke Vatican juga telah dirosakkan.
Nikolenko berkata, Kedutaan Ukraine di Kazakhstan menerima ancaman bom palsu manakala pihak kedutaan di Amerika Syarikat (AS) pula mendapat surat yang mengandungi salinan artikel mengkritik Ukraine.
“Surat itu seperti kebanyakan lain, berasal dari satu negara Eropah.
“Ketika ini, Ukraine sedang bekerjasama dengan penguatkuasa undang-undang negara asing untuk menyiasat semua ancaman, mengenal pasti individu terlibat dan mengambil tindakan terhadap mereka,” katanya.
Tambahnya, semua bungkusan yang dihantar ke kedutaan Ukraine dan konsulat di Eropah, didapati direndam dalam cecair warna khas dan mempunyai bau yang tersendiri.