MADRID: Pasukan pengawal pantai Sepanyol berjaya menyelamatkan tiga lelaki yang terpaksa menempuh pelayaran selama 11 hari dari Lagos, Nigeria.
Lapor The Guardian, pelarian berkenaan bersembunyi pada bahagian kemudi sebuah kapal tangki yang tiba di Kepulauan Canary dari Nigeria.
Sekeping gambar dimuat naik di Twitter menunjukkan ketiga-tiga lelaki itu sedang berpaut pada kemudi kapal tangki membawa muatan minyak dan bahan kimia, Alithini II.
Berdasarkan laman sesawang, Traffic Marine, kapal Alithini II yang mengibarkan bendera Malta, tiba di Las Palmas di Gran Canaria pada petang Isnin selepas pelayaran selama 11 hari dari Lagos di Nigeria.
Pengawal pantai dalam satu ciapan di Twitter berkata, pelarian itu dibawa ke pelabuhan dan dirawat oleh petugas kesihatan kerana mengalami dehidrasi dan hipotermia.
Sementara itu, seorang wartawan dan penasihat hal ehwal pelarian kepada kerajaan Kepulauan Canary, Txema Santana menyifatkan insiden itu bukan kali pertama berlaku.
Malah, Santana juga tidak menolak kemungkinan kejadian itu akan berulang lagi.
Ketibaan pelarian di Kepulauan Canary dengan menyeberang secara berbahaya dari Afrika Utara dilaporkan meningkat secara mendadak sejak akhir tahun 2019 selepas pemeriksaan di laluan Mediterranean diperketatkan.
Pada Oktober 2020, empat pelarian bersembunyi pada kemudi kapal tangki minyak dari Lagos dalam perjalanan selama 10 hari sebelum mereka ditahan polis ketika kapal tiba di Las Palmas.