10 maut letupan lombong arang batu di Sumatera Barat  - Utusan Malaysia

10 maut letupan lombong arang batu di Sumatera Barat 

PASUKAN penyelamat mengeluarkan mangsa yang tertimbus dalam letupan lombong arang batu di Sawahlunto di Sumatera Barat.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Seramai 10 orang terbunuh dalam insiden letupan lombong arang batu di wilayah Sumatera Barat, Indonesia kelmarin.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Negara, Inspektor Jeneral Dedi Prasetyo berkata, operasi menyelamat semua mangsa yang terlibat dalam insiden tragis itu dihentikan malam tadi.

Jelasnya, kesemua empat mangsa yang terselamat dan mengalami kecederaan sedang menerima rawatan di hospital berhampiran sementara mayat semua mangsa yang maut sudah dipindahkan.

Dedi berkata, ketika letupan tersebut berlaku, terdapat 14 pekerja sedang bertugas di dalam kawasan lombong di daerah Sawahlunto yang dimiliki sebuah syarikat swasta.

Letupan itu berpunca daripada kebocoran gas metana menyebabkan pasukan penyelamat terpaksa menggunakan kipas ekzos untuk mengeluarkan udara daripada dalam lombong bagi memastikan lokasi itu selamat untuk dimasuki.

Mangsa dilaporkan tertimbus pada kedalaman 200 meter di bawah permukaan tanah selepas ledakan berlaku.

“Pasukan penyelamat bergelut mencari mangsa memandangkan lokasi terbabit agak sukar untuk ditembusi,” kata Jurucakap Agensi Mencari dan Menyelamat (Basarnas), Octavianto.

Rakaman video yang dikeluarkan oleh Basarnas menunjukkan penyelamat membawa mangsa keluar dengan meletakkannya di atas pengusung dan memberi mangsa bantuan oksigen.

Risiko berdepan tanah runtuh, banjir dan terowong runtuh merupakan antara  bahaya yang menanti pelombong di Indonesia.

April lalu, sebuah trak dengan lebihan muatan membawa 29 orang melanggar lereng bukit dan terbalik berhampiran lombong emas haram di wilayah Papua Barat Indonesia, mengakibatkan 18 orang terbunuh dan yang lain cedera.

Antara kemalangan besar berkaitan perlombongan di Indonesia adalah pada Februari 2019 apabila struktur kayu sementara di lombong emas haram di wilayah Sulawesi Utara runtuh menyebabkan 40 orang terkorban.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya