PRETORIA: Seorang wanita Afrika Selatan mengikat mulutnya dengan ‘wayar pelangsing’ dalam cubaan untuk menguruskan badan.
Aviwe Mazosiwe sudah lama mencuba menurunkan berat badan dan mencapai berat ideal bagi melakukan pembedahan mengecilkan payudara untuk mempunyai kehidupan lebih berkualiti.
Dia berjaya menurunkan berat sebanyaj 12 kilogram dengan melakukan puasa, namun masih belum berpuas hati dengan penurunan tersebut.
Pada Jun tahun ini, wanita itu membuat keputusan mengikat wayar pada giginya untuk memastikan mulutnya sentiasa tertutup.
Menerusi aplikasi Tiktok, wanita itu berkongsi pengalamannya memakai wayar berkenaan.
“Saya menerima pelbagai komen negatif berhubung pemakaian wayar tersebut, namun saya enggan mengendahkannya.
“Saya akan meneruskan usaha ini sehingga mencapai berat ideal,” katanya.
Mazosiwe memakai wayar tersebut selama tujuh minggu dalam tempoh itu, dia kehilangan berat badan sebanyaj 14.3 kilogram kerana hanya bergantung kepada makanan dalam bentuk cecair.
Selepas membuka wayar tersebut, wanita itu terus membeli burger jalapeno kegemarannya, namun tidak dapat menikmatinya kerana otot rahangnya perlukan masa untuk digerakkan memandangkan ‘sudah lama berehat’.
Sementara itu, penggunaan wayar pelangsing itu terkenal dalam kalangan masyarakat Afrika Selatan dengan kebanyakannya menyifatkan kaedah itu berjaya membuatkan mereka mencapai berat badan ideal.