QAMISHLI: Pesawat Turkiye membedil dua perkampungan yang dihuni penduduk pelarian dalaman (IDP) di utara Syria, kata jurucakap Pasukan Demokratik Syria (SDF) pimpinan Kurdish di Twitter semalam.
Selasa lalu, Turkiye merancang menumpukan kepada sasaran di utara Syria selepas menyelesaikan operasi rentas sempadan terhadap militan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan di Iraq, berikutan letupan bom yang turut mengakibatkan kematian pada hujung minggu lalu di Istanbul.
Kerajaan menyalahkan militan Kurdish susulan letupan di Istiklal Avenue di Istanbul pada 13 November lalu yang mengakibatkan enam orang maut dan lebih 80 orang mengalami kecederaan.
“Pesawat pendudukan Turkiye membedil perkampungan Al-Beilonya yang padat dengan penduduk Afrin, mereka dipindahkan secara paksa dari Afrin pada 2018,” kata Ketua Pusat Media SDF, Farhad Shami menerusi Twitter.
“Ia adalah tindakan susulan di perkampungan Dahir al-Arab, yang dihuni penduduk DIP Ras al-Ain, mereka juga dipindahkan secara paksa disebabkan pendudukan Turki pada 2019,” katanya.
Kementerian Pertahanan Turkiye dalam Twitter semalam ‘meminta mereka bertanggungjawab atas serangan khianat’ itu dengan turut berkongsi gambar jet pejuang yang berlepas.
Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas letupan di laluan pejalan kaki yang sibuk, malah PKK dan SDF menafikan pembabitannya.
Turki telah melakukan tiga pencerobohan di utara Syria terhadap militan Kurdish Syria yang dikatakan adalah sayap PKK.
Presidennya, Recep Tayyip Erdogan sebelum ini berkata, Turkiye mungkin melakukan satu lagi operasi terhadap Unit Perlindungan Rakyat (YPG). – REUTERS