Pesawat penumpang gagal mendarat, terhempas ke dalam tasik - Utusan Malaysia

Pesawat penumpang gagal mendarat, terhempas ke dalam tasik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAR ES SALAAM: Sebuah pesawat penumpang terhempas ke dalam Tasik Victoria di Tanzania ketika cuba mendarat di lapangan terbang di Bukoba, hari ini.

Menurut laporan badan penyiaran Tanzania Broadcasting Corporation (TBC), sekurang-kurang 15 mangsa berjaya diselamatkan, setakat ini.

Namun, jumlah sebenar penumpang di dalam pesawat itu dan sama ada terdapat mangsa terkorban akibat kejadian berkenaan, belum dapat dikenal pasti.

“Kapal terbang yang berlepas dari ibu negara, Dar es Salaam itu terhempas ke dalam Tasik Victoria pada pagi ini akibat ribut dan hujan lebat,” lapor TBC.

Rakaman video dan gambar yang tular dalam media sosial menunjukkan pesawat itu hampir tenggelam sepenuhnya, dengan hanya bahagian ekor kapal terbang berkenaan dilihat masih berada di permukaan air.

Lapangan Terbang Bukoba terletak di pinggir Tasik Victoria yang merupakan tasik terbesar di Afrika.

Susulan itu, menurut TBC lagi, pasukan kecemasan bersama bot dikerahkan ke lokasi dan bertungkus lumus menyelamatkan penumpang yang terperangkap dalam pesawat terbabit.

Presiden Tanzania, Samia Suluhu Hassan, meminta orang ramai supaya kekal tenang berikutan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan.

“Saya dengan dukacitanya telah menerima berita mengenai kemalangan membabitkan pesawat syarikat penerbangan Precision Air.

“Marilah bertenang dan berdoa semoga Tuhan menolong kita, sementara petugas bekerja keras meneruskan usaha SAR,” ciapnya.

Precision Air, iaitu syarikat penerbangan milik swasta yang terbesar di Tanzania, mengenal pasti pesawat itu sebagai PW 494 dan memaklumkan ia terbabit kemalangan ketika menghampiri Lapangan Terbang Bukoba, tanpa memberikan maklumat lanjut. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya