SEOUL: Korea Utara melancarkan lebih 20 peluru berpandu semalam, termasuk satu yang dilaporkan mendarat hampir dengan kawasan perairan Korea Selatan.
Satu daripada peluru berpandu tersebut melepasi Garisan Had Utara yang menjadi penanda sempadan maritim bagi kedua-dua negara, selain disifatkan paling agresif sejak 2010.
Situasi itu menyebabkan sirem amaran dibunyikan, menyaksikan penduduk di pulau Ulleungdo diarahkan mencari perlindungan bawah tanah.
Amaran itu disiarkan secara langsung dalam televisyen.
Presiden Korea Selatan, Yoon Sun-yeol menyifatkan pelancaran tersebut ‘pencerobohan jelas oleh Korea Utara’ dan merupakan yang pertama kali sejak Semenanjung Korea berpecah kepada dua.
Peluru berpandu Pyongyang itu dilaporkan mendarat di perairan Korea Selatan pada jarak 57 kilometer ke tenggara tanah besar negara ini.
Ketenteraan Korea Selatan turut mengecam tindakan tersebut yang disifatkan sebagai sangat jarang berlaku dan tidak boleh ‘diberi muka’.
“Ketenteraan kami akan bertindak balas terhadap situasi yang berlaku,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat presiden.
Dalam pada itu, Suk-yeol mengarahkan satu mesyuarat diadakan segera mengenai pelancaran peluru berpandu oleh Pyongyang dan berikrar negara itu akan berdepan dengan ‘akibat yang sewajarnya’.
PANTANG DICABAR
Pelancaran tersebut dilakukan selepas Seoul dan Washington melakukan latihan ketenteraan terbesar yang dinamakan ‘Vigilant Storm’, melibatkan ratusan pesawat perang dari kedua-dua negara.
Pegawai tentera tertinggi Korea Utara, Pak Jong-chon memberitahu, latihan tersebut ‘amat agresif dan provokasi’ buat Pyongyang.
“Jika AS dan Korea Selatan cuba menggunakan senjata untuk menentang Korea Utara tanpa rasa gentar, itu bermakna kami juga boleh melancarkan misi strategik tanpa berlengah.
“Kedua-dua negara itu bakal berdepan dengan akibat paling teruk yang mereka tidak pernah bayangkan,” tegasnya.
KOREA SELATAN BALAS
Selepas tiga jam Korea Utara melakukan pelancaran tersebut, Korea Selatan membalasnya dengan melancarkan peluru berpandu ke ‘lokasi yang sama’.
Seoul melancarkan sebanyak tiga peluru berpandu. – AFP