JAKARTA: Kumpulan K-pop, NCT 127 terpaksa menamatkan konsert sulung mereka di Indonesia lebih awal selepas 30 orang dilaporkan pengsan akibat dihimpit ketika konsert berlangsung semalam.
Jurucakap polis, Endra Zulpan berkata, konsert berhampiran ibu kota Jakarta berlangsung selama kira-kira dua jam apabila peminat mula menolak dan berhimpit ke hadapan untuk mendekati pentas.
“Disebabkan itu, 30 orang pengsan. Untuk mengelakkan kejadian lebih buruk, kami memutuskan untuk menghentikan konsert pada pukul 9.20 malam ,” kata Zulpan.
Menurut beliau, peminat yang rebah diberi bantuan kecemasan segera dan kembali pulih.
Sejurus sebelum kejadian, kumpulan lelaki itu dilaporkan menghulurkan cenderamata kepada peminat menyebabkan ramai yang berada di belakang mula berhimpit ke arah pentas sehingga pagar penghadang runtuh.
“Kami kecewa dengan peminat-peminat itu. Kami diberi amaran supaya tidak menolak antara satu sama lain termasuk oleh ahli NCT 127, tetapi mereka sangat mementingkan diri sendiri.
“Hanya untuk rakaman gambar yang baik, mereka mengabaikan keselamatan orang lain,” kata seorang peminat, Syifa Aulia.
Polis membenarkan penganjuran hari kedua konsert kumpulan NCT 127 yang berlangsung hari ini, tetapi melarang pemberian barangan kepada peminat dan mengambil langkah lebih ketat untuk memisahkan peminat dan penghibur.
“Untuk menebus kesalahan itu dan memberikan pengalaman terbaik, kami akan menambah lebih ramai paramedik dan anggota keselamatan untuk pertunjukan Hari Kedua,” kata penganjur konsert, Dyandra Global Edutainment di Instagram.-AFP