BANGKOK: Kementerian Tenaga Thailand bakal melaksanakan peraturan penutupan awal bagi operasi pub, stesen minyak dan kedai serbaneka 24 jam.
Langkah itu sebahagian usaha negara ini untuk menjimatkan penggunaan tenaga sekiranya keadaan semasa menjadi semakin teruk, lapor Bangkok Post.
Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga, Kurit Sombatsiri, berkata itu adalah keputusan mesyuarat mengenai krisis tenaga yang diadakan bersama Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha dan Pejabat Dasar dan Perancangan Tenaga (EPPO).
“Kenaikan harga gas asli cecair (LNG) dan nilai mata wang baht yang lemah mungkin meningkatkan kos tenaga pada tahun hadapan.
“Jika ini berterusan, EPPO akan menggesa penduduk untuk membantu menjimatkan penggunaan tenaga, selain merangka langkah bagi menangani krisis tenaga,” katanya.
Antara 11 langkah yang dicadangkan termasuk mencari lebih banyak sumber tenaga daripada loji kuasa hidro di negara jiran, menyokong sistem sel suria serta meminta kerjasama penjimatan tenaga daripada premis perniagaan dan jabatan perindustrian di Thailand.
Sektor perindustrian dan perniagaan juga akan digesa melaraskan suhu penyaman udara kepada 27 darjah Celsius, menutup stesen minyak sebelum jam 11 malam, mematikan lampu yang tidak diperlukan seperti di papan iklan serta mengawal tempoh pembukaan pusat beli-belah serta bangunan dan premis lain.
Perkhidmatan perniagaan seperti pusat beli-belah, kedai serbaneka dan tempat hiburan turut diminta mematikan pendingin hawa selama 30 hingga 60 minit sebelum waktu penutupan atau ditutup lebih awal.
Industri lain juga diminta mencari peranti jimat tenaga untuk meningkatkan kecekapan operasi.
Pada masa sama, kerajaan akan membantu setiap perniagaan dengan memberikan maklumat, cadangan dan beberapa dana pelaburan.