NEW YORK: Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) sedang menyiasat laporan kewujudan balai polis rahsia kerajaan China yang ditubuhkan di beberapa wilayah di Amerika Syarikat (AS).
Dalam satu laporan September lalu, badan bukan kerajaan Safeguard Defenders mendedahkan kehadiran balai berkenaan di seluruh dunia termasuk di New York.
Pengarah FBI, Christopher Wray memberitahu ahli politik kanan AS bahawa agensi itu sedang memantau laporan pusat sedemikian di seluruh negara.
Menurut Safeguard Defenders yang berpangkalan di Sepanyol, biro keselamatan awam China menubuhkan balai perkhidmatan polis luar negara di beberapa benua termasuk di London, Glasgow, Toronto dan New York.
Unit tersebut dilaporkan diwujudkan untuk menangani jenayah rentas negara dan menyediakan perkhidmatan pentadbiran kepada warga China di luar negara, seperti memperbaharui lesen memandu di luar negara dan perkhidmatan konsular lain.
Bagaimanapun, Safeguard Defenders berkata mereka juga melaksanakan matlamat lebih berbahaya dengan cuba membasmi semua jenis aktiviti haram dan jenayah yang melibatkan warga China di luar negara.
Wray berkata, AS sebelum ini membuka beberapa pertuduhan berkaitan kerajaan China yang mengganggu, mengintip, memantau dan memeras ugut warga AS yang mengkritik Presiden China, Xi Jinping.
“Ia adalah masalah sebenar dan sesuatu yang kami bincangkan dengan rakan kongsi asing kami juga, kerana kami bukan satu-satunya negara di mana perkara ini berlaku,” katanya.
Oktober lalu, AS membuka pertuduhan jenayah terhadap tujuh warga China yang didakwa mengintip dan mengganggu seorang penduduk AS dan keluarganya berikutan usaha kerajaan China untuk cuba membawa salah seorang daripada mereka kembali ke negara itu.
Bulan lalu, salah satu balai polis China di tengah ibu kota Ireland di Dublin diarah tutup oleh kerajaan negara itu hasil laporan oleh Safeguard Defenders.
Pegawai perisikan Kanada baru-baru ini turut memberitahu mereka sedang menyiasat tuduhan bahawa China turut membuka balai polis tidak rasmi di negara itu.-AGENSI