NEW YORK: Hartawan terkemuka, Elon Musk dikhabarkan merancang untuk mengurangkan kira-kira 3,700 pekerja di Twitter Inc, atau separuh daripada tenaga kerja syarikat media sosial itu.
Menurut sumber, perkara itu dibuat dalam usaha untuk mengurangkan kos operasi selepas membuat pembelian aplikasi tersebut pada harga AS$44 bilion (RM208.65 bilion).
Pemilik baharu Twitter itu dijangka akan memaklumkan kepada kakitangan yang terjejas pada hari Jumaat.
Musk juga berhasrat untuk membatalkan dasar kerja yang membenarkan kakitangan menjalankan tugas di mana sahaja sebaliknya mengembalikan semula polisi bekerja di pejabat walaupun beberapa pengecualian boleh dibuat.
Musk dan pasukan penasihatnya juga menimbang pelbagai senario untuk pemberhentian kerja dan perubahan dasar lain di Twitter yang berpangkalan di San Francisco.
Musk juga dikatakan sedang mempertimbangkan untuk menawarkan pekerja yang diberhentikan pampasan gaji selama 60 hari.
Jurucakap Twitter bagaimanapun enggan memberi sebarang komen berhubung isu tersebut.-AGENSI