MOSCOW: Sekumpulan pakar bedah Russia berdepan detik mencemaskan apabila terpaksa mengeluarkan sebutir bom yang masih aktif dari badan seorang anggota tentera.
Anggota tentera itu, Nikolay Pasenko, 41, cedera parah pada minggu lalu apabila unitnya diserang hendap oleh pasukan tentera Ukraine.
Ketika mahu melakukan serangan balas, tiba-tiba berlaku satu letupan kuatberlaku sehingga menyebabkan bahagian dada Pasenko cedera parah.
Pasenko kemudiannya menyedari dia terkena serpihan pelancar roket tentera Ukraine yang meletup, menyebabkan sebutir bom ‘tertanam’ di dalam dalam dadanya.
Anggota tentera berusia 41 tahun itu dikejarkan ke hospital di Belgorod, 40 kilometer ke utara sempadan Ukraine.
Imbasan sinar X mendapati kesan letupan itu menyebabkan paru-parunya koyak dan saluran darah utama terjejas.
Selepas dimaklumkan terdapat bom tertanam dalam dadanya, Pasenko pada mulanya enggan membenarkan pakar membedahnya mengeluarkan bahan letupan itu kerana bimbang kesannya.
“Saya tidak mahu bom itu tiba-tiba meletup semasa ia dikeluarkan, bukan sahaja saya mati, semua yang berada berhampiran juga akan terkorban,” katanya.
Namun, selepas berunding dan mendapatkan nasihat pakar, pembedahan dilakukan dengan pakar perubatan memakai sut khas antiletupan.
Pembedahan itu berjalan lancar dan Pasenko kini dalam proses pemulihan.