JAKARTA: Ahli arkeologi Indonesia menemukan rel trem lama zaman penjajahan Belanda yang masih utuh di kawasan jalan Harmoni di Jakarta Pusat baru-baru ini.
Menurut Ahli Arkeologi Universiti Indonesia, Charunia Arni, laluan trem yang ditemui itu mempunyai keunikan tersendiri kerana merupakan projek trem buatan jajahan Belanda yang pertama ketika itu.
“Rel trem di Jakarta yang dulunya dikenali sebagai Batavia wujud jauh lebih awal berbanding di Belanda sendiri.
“Belanda memilih melakukan di sini terlebih dahulu walaupun belum pun dibuat di negaranya,” kata Charunia ketika ditemui di lokasi berkenaan semalam.
Negara yang pernah menggunakan trem sebelum Indonesia ketika itu adalah England dan Amerika Syarikat (AS).
“Dengan inovasi jajahan Belanda, pengangkutan trem di Batavia Indonesia menjadi yang pertama di Asia dan tertua di Indonesia,” katanya.
Katanya, sebelum ini pembinaan trem di Batavia hanya digunakan sebagai medan ujian bagi jajahan Belanda.
“Trem di Batavia tidak direka dalam bentuk kereta api dengan lokomotif dan gerabak seperti sekarang.
“Ketika itu, trem yang dimaksudkan adalah gerabak terbuka dengan panjang kira-kira 2 hingga 3 meter yang ditarik oleh kuda,” jelas Charunia.-AGENSI