FLORIDA: Angka kematian akibat Taufan Ian yang melanda tenggara Amerika Syarikat (AS) minggu lalu, kini melepasi lebih 80 orang.
Sekurang-kurangnya 85 kes kematian berkaitan ribut disahkan sejak Taufan Ian mendarat di Pantai Teluk Florida, Rabu lalu sebagai taufan Kategori 4 dengan kelajuan angin maksimum 249 kilometer sejam.
Memetik laporan Al Jazeera, Florida menyumbang kesemua kes kecuali empat kematian.
Pejabat sheriff di pantai Lee County termasuk bandar Fort Myers yang terjejas, mengesahkan seramai 42 orang maut akibat taufan.
Sebanyak 39 kes kematian dilaporkan oleh pegawai di beberapa daerah berhampiran.
Taufan Ian, antara ribut paling kuat melanda AS, menjejaskan hampir seluruh kawasan kejiranan ketika ia mendarat di pantai barat daya Florida, Rabu lalu.
Ribut yang dicetuskan dengan angin dan hujan lebat menyebabkan kawasan kejiranan pedalaman tenggelam dengan pasukan mencari dan menyelamat terus mencari mangsa.
Lebih 700,000 premis perniagaan dan kediaman terputus bekalan elektrik semalam di Florida, yang mana lebih dua juta penduduk terpaksa bergelap pada hari pertama dilanda ribut.
Sementara itu, pihak berkuasa di Carolina Utara memaklumkan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh di kawasan berkenaan.
Setakat ini, tiada kes kematian dilaporkan di Carolina Selatan semasa Taufan Ian sekali lagi melanda AS pada Jumaat lalu.