SAN FRANCISCO: Suami Speaker Dewan Rakyat Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi cedera parah selepas diserang penceroboh yang memecah masuk rumah pasangan itu di San Fransisco semalam.
Serangan tersebut meningkatkan kebimbangan mengenai keganasan politik menjelang pilihan raya pertengahan penggal 8 November ini.
Menurut portal berita BBC, Paul Pelosi, 82, dikejarkan ke hospital selepas cedera di kepala akibat dipukul dengan tukul besi ketika menghalang seorang lelaki yang memasuki rumahnya dan menjerit ingin bertemu dengan Nancy.
Jurucakap Speaker Dewan Rakyat berkata, Paul dilaporkan menjalani pembedahan selepas mengalami keretakan tengkorak dan kecederaan serius pada lengan kanan dan kini dalam proses pemulihan.
Ketua Polis San Francisco, William Scott berkata, penyerang tersebut, David Depape, 42, ditahan di tempat kejadian dan akan didakwa atas tuduhan cubaan membunuh, menyerang dengan senjata berbahaya, penderaan warga emas, pecah rumah, dan beberapa pertuduhan jenayah lain.
Nancy yang berada di Washington ketika serangan berlaku, tiba di San Francisco semalam sebelum bergegas melawat suaminya di hospital.
Presiden AS, Joe Biden turut mengecam tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai perbuatan yang kejam.
“Setiap orang yang mempunyai hati nurani yang baik perlu dengan jelas menentang keganasan dalam politik kita tidak kira apa juga fahaman anda,” katanya.