COLOMBO: Selepas kehilangan akses bekalan ubat ekoran krisis kewangan awal tahun ini, rakyat Sri Lanka kini berdepan kekurangan doktor selepas ramai berhijrah ke Asia Barat dan negara Barat lain yang menyediakan peluang kerja lebih baik.
Pakar perubatan yang menggunakan ubat import bagi kira-kira 85 peratus daripada keperluan farmaseutikalnya bergelut untuk memberikan rawatan yang tepat kepada pesakit.
Tekanan kerja dan peluang penambahbaikan yang tipis memaksa beratus-ratus doktor berhijrah ke luar negara dan trend tersebut semakin meningkat akhir-akhir ini.
“Terdapat trend yang meningkat dalam kalangan profesional yang berpindah keluar dari pulau itu untuk peluang yang lebih baik kerana keadaan semasa di negara ini,” jelas Pengarah Urusan Biro Pekerja Luar, Priyantha Senanayake.
Data daripada Persatuan Pegawai Perubatan Kerajaan menunjukkan sekurang-kurangnya 500 doktor daripada institusi perubatan negeri telah berhijrah ke luar negara dalam tempoh lapan bulan pertama 2022.
Bekas Presiden Perubatan Sri Lanka, Dr. Ruvaiz Haniffa berkata, sekurang-kurangnya 100 lagi doktor yang bekerja di sektor swasta turut meninggalkan negara itu manakala mereka yang melakukan perjalanan untuk latihan praktikal enggan pulang.
“Untuk pengajian pascasiswazah mereka kebanyakannya pergi ke Australia, New Zealand dan Singapura. Untuk meneruskan kerjaya ramai memilih ke Australia, United Kingdom (UK) dan New Zealand.
“Sementara doktor gred pertengahan kebanyakannya pergi mencari pekerjaan ke negara-negara di Asia Barat terutamanya Oman atau UAE dan kami tidak mempunyai hak untuk menghalangnya,” katanya.-AGENSI