JAKARTA: Pelakon tampan, Rizky Billar mengakui perniagaannya terjejas dan kerugian lebih 400 juta rupiah (RM121,743) selepas skandal rumah tangganya tersebar di media baru-baru ini.
Portal Tablod Bintang melaporkan, kisah keganasan rumah tangga Billar dan isterinya yang juga penyanyi dangdut, Lesti Kejora menyebabkan pelakon itu kehilangan kontrak kerjasama perniagaan.
Perkara tersebut didedahkan peguam Billar, Ade Erpil kepada wartawan di Jatinegara di barat Jakarta semalam.
Erpil berkata, skandal tersebut turut menyebabkan pelakon itu dan ahli keluarganya mengalami tekanan mental.
“Saya mahu bertanya kepada penyiasat laporan Lesti mengenai tuduhan dikasari bertubi-tubi itu harus dibuktikan dahulu.
“Jika tidak benar siapa yang mahu bertanggungjawab. Anak guam saya dan keluarganya sudah menerima banyak tekanan dan gangguan mental,” katanya.
Pasangan itu menjadi perhatian selepas Lesti membuat laporan polis menjadi mangsa keganasan Rizky apabila mengetahui suaminya berlaku curang.
Pasangan muda itu mendirikan rumah tangga pada 19 Ogos 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Leslar Al-Fatih Billar.