Rakyat Singapura boleh makan 16 jenis serangga sebagai kudapan

Rakyat Singapura boleh makan 16 jenis serangga sebagai kudapan

KESEMUA produk berasaskan serangga yang dibenarkan untuk dimakan perlu menjalani penilaian keselamatan sebelum dijual kepada orang ramai. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Agensi makanan Singapura (SFA) bakal membenarkan import dan penjualan serangga sebagai bekalan makanan manusia serta haiwan.

Menerusi kenyataan, SFA memaklumkan, selepas membuat penelitian saintifik yang menyeluruh, kerajaan mungkin bakal membenarkan penjualan produk berasaskan beberapa jenis serangga yang boleh dimakan manusia.

Setakat ini, sebanyak 16 jenis serangga sudah dinilai untuk tujuan tersebut, termasuk cengkerik, belalang, kumbang, cacing, kupu-kupu, ulat sutera dan lebah madu.

Agensi itu juga memaklumkan, penternakan komersial untuk kegunaan manusia dan makanan haiwan sudah dipromosikan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Di Singapura, lebih 10 syarikat menyatakan minat untuk mengimport produk makanan serangga atau penternakan serangga.

Namun, mana-mana syarikat yang berminat untuk mengusahakan sektor tersebut perlu memenuhi kriteria tertentu bagi memastikan keselamatan makanan.

Kriteria itu termasuk menyediakan dokumentasi bukti mengenai serangga yang diimport haruslah diternak dengan piawaian keselamatan makanan, selain tiada patogen atau bahan berbahaya digunakan dalam pemeliharaan atau pemakanan serangga.

Pihak yang ingin mengimport atau menternak serangga tanpa sejarah penggunaan manusia juga perlu menjalankan penilaian keselamatan kepada SFA sebelum mengeluarkan produk jualan.

Dalam pada itu, SFA menjelaskan, produk serangga akan tertakluk kepada ujian makanan dan keselamatan, sama seperti semua makanan lain di republik ini.

“Makanan yang tidak mematuhi peraturan keselamatan tidak akan dibenarkan dijual,” menurut agensi tersebut.

Sementara itu, SFA juga giat mendapatkan maklum balas daripada orang ramai, termasuk industri makanan mengenai syarat import dan keperluan praperlesenan tambahan untuk serangga dan produk serangga. – CNA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya