Populasi Qatar meningkat 13.2 peratus menjelang Piala Dunia - Utusan Malaysia

Populasi Qatar meningkat 13.2 peratus menjelang Piala Dunia

PEMANDANGAN bandar Lusail menjelang penganjuran Piala Dunia 2022 di Qatar. - AFP    
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Data rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa Qatar menunjukkan jumlah penduduk di negara itu meningkat sebanyak 13.2 peratus sepanjang tahun lalu.

Peningkatan itu berlaku ketika negara Teluk Arab membawa masuk ribuan pekerja asing menjelang penganjuran kejohanan bola sepak Piala Dunia 2022 Qatar pada bulan depan.

Berdasarkan data dikumpulkan pada bulan lalu, bilangan penduduk negara yang kaya dengan minyak dan gas itu kini mencecah sebanyak 2.94 juta orang selepas penambahan kira-kira 370,000 orang yang berpindah ke Qatar sepanjang tahun lalu.

Pekerja asing yang berpendapatan rendah dan warga asing lain membentuk majoriti popolasi negara itu sementara warga Qatar pula hanya berjumlah sekitar 380,000 orang.

Pihak penganjur Piala Dunia berdepan kekurangan kakitangan ketika Qatar melakukan persiapan untuk menerima kira-kira 1.2 juta pengunjung sepanjang acara bola sepak terbesar itu.

Penganjuran acara antarabangsa itu dijangka memberi tekanan terhadap sektor infrastruktur, hospitaliti dan keselamatan.  

Pengendali hotel Accor dilaporkan sedang merekrut seramai 12,000 pekerja asing sementara bagi mengendalikan sebanyak 65,000 bilik di apartmen dan rumah yang berfungsi sebagai penempatan sementara.

Qatar sudah mempunyai perjanjian dengan Turki dalam usaha menyediakan lebih 3,000 anggota polis anti rusuhan.

Malah, Pakistan juga bersetuju untuk mengerahkan pasukan tenteranya ke Qatar ketika kejohanan bola sepak itu.

Berdasarkan dokumen belanjawan, Qatar sudah membina lebuh raya, tujuh stadium bola sepak, hotel dan bangunan pencakar langit sehingga membelanjakan sekurang-kurangnya AS$229 bilion (RM1.06 trilion) bagi  infrastruktur negara itu.

Hampir separuh daripada populasi Qatar bekerja dalam industri pembinaan.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan selepas tahun kejohanan itu, jumlah penduduk Qatar dijangka berkurangan sebanyak kira-kira 1.2 peratus dari tahun ke tahun sebelum menyusut kepada 2.5 juta menjelang 2027. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya