NEW DELHI: Penduduk kampung Upla di Maharashtra, India amat menyanjungi sekawan monyet di kawasan itu sehingga sanggup mendaftarkan sebidang tanah atas nama haiwan berkenaan.
Lapor Oddity Central, penduduk di India sentiasa memandang tinggi haiwan itu dengan memberi makan dan melibatkannya dalam pelbagai upacara.
Namun, penduduk Upla dikatakan melangkaui segala dengan bertindak mendaftarkan tanah seluas 12.94 hektar atas nama monyet yang tinggal di kampung berkenaan.
Menurut ketua kampung Bappa Padwal, perkampungan itu merupakan habitat kepada hampir 100 monyet ketika ini.
Malah, katanya, bilangan haiwan itu semakin berkurangan sejak beberapa tahun kerana ia tidak tinggal lama di satu kawasan.
“Walaupun dokumen dengan jelas menyatakan tanah itu milik monyet, namun tidak diketahui siapa yang mewujudkan peruntukan ini untuk haiwan dan bila ia dilakukan,” katanya.
Padwal memberitahu Jabatan Perhutanan menjalankan kerja-kerja perladangan di tanah tersebut .
Berdasarkan laporan Times of India, penduduk kampung memberi makan kepada monyet setiap kali muncul di depan pintu mereka.