JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) memanggil ratusan ketua polis daerah dan pegawai tertinggi ke kediaman rasminya untuk mengadakan satu pertemuan khas.
Dalam pertemuan itu, Jokowi berpesan kepada semua pegawai polis berkenaan supaya tidak sombong dan cuba mengelak daripada menindas rakyat.
Hal ini kerana, Jokowi bimbang dengan kemarahan rakyat yang semakin memuncak terhadap pasukan polis.
Beliau membuat kenyataan itu susulan insiden rempuhan selepas perlawanan bola sepak antara pasukan Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan, Malang sehingga menyebabkan lebih 130 kematian.
Kejadian itu berlaku selepas polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan protes yang dilakukan para penonton.
Setakat ini, tiga anggota polis sudah didakwa berhubung insiden berkenaan.
Namun, insiden yang berlaku di Malang itu bukanlah satu-satunya sebab mengapa Jokowi mengadakan pertemuan khas itu.
Beberapa kes profil tinggi melibatkan banyak pegawai polis turut menyumbang kepada kehilangan kepercayaan masyarakat terhadap kredibiliti pasukan keselamatan itu.
KES PROFIL TINGGI
Pada 14 oktober, Jokowi memberitahu para pegawai polis bahawa pada November tahun lalu, keyakinan masyarakat terhadap unit beruniform itu adalah sebanyak 80.2 peratus, berikutan kejayaan polis dalam membantu mempromosikan vaksinasi Covid-19.
Namun, jumlah itu menurun sehingga 54 peratus pada Ogos tahun ini.
Kata Jokowi, tahap keyakinan itu menurun disebabkan oleh kes pembunuhan yang dilakukan oleh pegawai polis, Ferdy Sambo yang didakwa merancang pembunuhan rakan sejawatnya, Nofriansyah Yosua Hutabarat.
“Ia merupakan satu usaha yang sukar untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap institusi polis berikutan keadaan semasa yang tidak menggalakkan,” jelas Jokowi.
Selain itu, Jokowi juga mendedahkan beliau sering mendapat aduan daripada masyarakat mengenai ‘sikap buruk polis’.
“Sebanyak 29.7 peratus aduan rakyat terhadap polis adalah mengenai ‘kutipan yuran haram’. Tolong beri perhatian kepada semua anggota yang didapati melakukan perkara tersebut,” ujarnya.
Satu lagi kes profil tinggi melibatkan pegawai polis adalah kes dadah oleh Inspektor Teddy Minahasa Putra.
Kes itu didedahkan dua hari selepas Teddy dilantik sebagai Ketua Polis Jawa Timur bagi menggantikan Nico Afinta yang dipecat susulan insiden rempuhan di Kanjuruhan.
Penganalisis dari Institut Kajian Keselamatan dan Strategik (ISESS) yang berpangkalan di Jakarta, Bambang Rukmino, kes-kes yang melibatkan pegawai polis sejak kebelakangan ini boleh disifatkan sebagai ‘klimaks penceritaan’.
“Kesemua kes tersebut adalah pengumpulan permasalahan dalam kalangan anggota polis yang sudah berlarutan selama bertahun-tahun dan tiada penyelesaian dilakukan.
“Disebabkan itu, muncullah beberapa kes profil tinggi yang dilakukan pegawai polis, selain banyak kes lain seperti judi dalam talian, kes dadah dan perlombongan haram yang tidak didedahkan,” katanya.
REFORMASI POLIS TAK BERJAYA
Dalam pada itu, kumpulan penganalisis berpendapat, punca kepada semua masalah yang berlaku dalam kalangan polis adalah disebabkan oleh reformasi yang tidak berjaya selama beberapa tahun.
Selepas kejatuhan kepemimpinan Soeharto pada 1998, Indonesia berikrar untuk melakukan reformasi dalam unit tentera dan polis.
Sebelum ini, polis Indonesia di bawah tentera dan dengan reformasi yang dilakukan, unit tersebut berpecah sebagai entiti berasingan.
Peranan polis Indonesia bermula 2002 dan sejak itu, institusi polis dianggap ‘kebal’ kerana tiada organisasi luar yang boleh mengawal mereka.
Sugeng teguh Santoso dari Indonesia Police Watch (IPW) pula berpendapat, masalah itu berlaku kerana tiada penjelasan konkrit mengenai bidang kuasa polis.
“Disebabkan itu, anggota polis rasa mereka boleh gunakan kuasa dan pangkat yang ada untuk urus semua perkara, termasuk hal yang salah,” ujarnya.
BUKAN SEMUA POLIS TERUK
Pesuruhjaya Polis Kebangsaan Indonesia, Poengky Indarti menyatakan, kes melibatkan Ferdy dan Teddy adalah disebabkan penyalahgunaan kuasa.
Namun, kes rempuhan di Malang adalah isu yang berlainan kerana ia melibatkan pihak lain dan bukan polis semata-mata.
“Bukan semua anggota polis itu teruk kerana di kawasan luar bandar, masalah seperti itu tidak berlaku.
“Polis dan penduduk kampung boleh bekerjasama dengan baik dalam menjaga keamanan mereka,” katanya. – AGENSI