Indonesia arah farmasi henti jual semua jenis ubat sirap  - Utusan Malaysia

Indonesia arah farmasi henti jual semua jenis ubat sirap 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kementerian Kesihatan Indonesia mengeluarkan notis kepada semua farmasi di seluruh negara supaya tidak menjual ubatan dalam bentuk cecair (sirap) buat sementara waktu. 

Arahan itu susulan kematian hampir 100 kanak-kanak akibat buah pinggang akut (AKI) dilaporkan pada tahun ini.

Lapor Kompas.com, arahan itu tertera dalam surat pekeliling mengenai  penyiasatan epidemiologi dan pelaporan kecederaan buah pinggang akut progresif atipikal dalam kalangan kanak-kanak.   

“Kementerian meminta semua farmasi menghentikan sementara penjualan ubat sirap kepada orang ramai sehingga pengumuman rasmi dikeluarkan,” jelas surat pekeliling itu.

Perintah itu ditandatangani oleh pemangku Ketua Pengarah Kesihatan, Murti Utami.

Perintah itu antara lain turut mengarahkan semua petugas kesihatan di fasiliti kesihatan tidak memberi ubat sirap buat sementara waktu.

Sementara itu, fasiliti kesihatan juga diarahkan merujuk pesakit kanak-kanak yang mengalami masalah buah pinggang akut ke hospital yang mempunyai pakar doktor buah pinggang dan kemudahan hemodialisis untuk golongan itu.   

Jelas kementerian, rujukan perlu dibuat sekiranya fasiliti kesihatan berkenaan tidak mempunyai kemudahan bilik intensif seperti Unit Rawatan Tinggi (HCU) dan Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).   

Berdasarkan data dikeluarkan laman Ikatan Dokter Anak Indonesia (IDAI), sebanyak 192 kes masalah buah pinggang akut misteri dikesan di 20 wilayah sejak Januari lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN