NEW DELHI: Pihak berkuasa India menyiasat penghasilan empat jenis ubat batuk dan selesema oleh syarikat farmaseutikal tempatan selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan mereka mungkin bertanggungjawab terhadap 66 kematian kanak-kanak di Gambia.
Semalam, WHO mengeluarkan amaran mengenai ubatan tersebut yang dihasilkan oleh Maiden Pharmaceuticals di negeri Haryana mungkin boleh menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang akut.
Ujian makmal mendapati kesemua ubatan tersebut dicemari dengan bahan yang membahayakan nyawa, tanpa mendedahkan jenis bahan tersebut.
Kementerian India semalam memaklumkan, pihaknya kini menunggu keputusan makmal berkaitan ubatan berkenaan.
Kementerian itu juga menyatakan, syariakt farmaseutikal itu tidak mempunyai lesen untuk mengedarkan empat jenis ubatan berkenaan di India dan hanya dibenarkan mengeksportnya ke Gambia.
“Adalah menjadi kebiasaan untuk mana-mana negara melakukan ujian keselamatan terlebih dahulu sebelum membenarkan penggunaan kepada orang ramai,” celas kementerian tersebut.
Sementara itu, syarikat farmaseutikal tersebut enggan memberi sebarang kenyataan berhubung kes berkenaan. – AFP