LONDON: Lebih 48 juta ekor ayam, itik dan ayam belanda terpaksa dilupuskan selepas benua Eropah diserang wabak selesema burung jenis avian influenza terbesar tahun ini .
Avian influenza dilihat menular dengan begitu pantas tahun ini dan pakar kesihatan kini bimbang virus berkenaan mampu menjangkiti manusia sehingga mencetus pandemik baharu.
Kebiasaannya wabak ini berjaya dikawal selepas tiba musim panas namun kini serangannya berterusan sepanjang tahun.
Penternak di benua itu turut memberi amaran kewujudan masalah kekurangan bekalan ayam belanda menjelang perayaan Krismas pada Disember ini.
Kadar jangkitan juga dikhuatiri terus meningkat apabila kumpulan burung-burung yang berhijrah mula tiba di United Kingdom (UK) beberapa minggu lagi.
Sehingga kini, 37 negara dari kepulauan Svalbard Norway hingga ke Ukraine telah merekodkan peningkatan jangkitan.
Sejumlah 161 kes Avian Influenza Patogenik tinggi (HPAI) melibatkan burung dan ayam ternakan direkodkan tahun ini berbanding hanya 26 kes dua tahun lalu.
Terdapat 1,727 kes jangkitan burung liar di 406 lokasi di UK melibatkan 59 spesies burung termasuk burung hantu dan burung camar.
Menurut Pusat Pencegahan Penyakit dan Kawalan Eropah (ECDC), walaupun jangkitan turut dikesan pada beberapa spesies mamalia namun tiada penularan kepada manusia direkodkan di barat Eropah .
Bagaimanapun antara Januari 2003 hingga 31 Mac lalu, terdapat 863 kes jangkitan virus avian influenza A (H5N1) melibatkan manusia dilaporkan dari 18 negara dengan 455 kes kematian.-AGENSI