SYDNEY: Hujan lebat diramal berterusan di sebahagian besar wilayah yang dilanda banjir di selatan dan timur Australia ketika negara ini berdepan fenomena cuaca La Nina kali ketiga berturut-turut.
Menurut portal berita Channel News Asia, darurat akibat banjir berterusan selama seminggu di New South Wales dan Victoria.
Sehingga kini, banjir telah mengorbankan lima nyawa dan menyebabkan ribuan penduduk terpaksa dipindahkan.
Biro Meteorologi mengeluarkan amaran cuaca buruk di kawasan sepanjang 320 kilometer (km) di pantai utara New South Wales, termasuk pusat wilayah Lismore.
“Hujan lebat diramal membawa bencana banjir kilat yang berbahaya dan mengancam nyawa dalam tempoh 24 jam ini,” jelas agensi itu dalam satu kenyataan di laman webnya.
Lismore antara kawasan paling teruk dilanda banjir Mac lalu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang dan memaksa puluhan ribu dipindahkan.
Hujan lebat dijangka turut melanda Teluk Byron dalam tempoh 24 jam akan datang.
Sebanyak 122 amaran banjir dikeluarkan di New South Wales dan 67 lagi di Victoria dengan penduduk yang tinggal di Kerang dan bandar Echuca berhampiran sungai Murray diarah berpindah.
Sungai terpanjang di Australia itu telah meningkat kepada kira-kira 94.80 meter hari ini, sama seperti paras banjir besar yang melanda negara ini pada tahun 1993 dan dikhuatiri mencapai puncak sekitar 95 meter.
Perkhidmatan Kecemasan Negeri Victoria mengesahkan, kira-kira 750 orang telah diselamatkan di seluruh negeri dalam tempoh 10 hari lalu.
Bendahari, Jim Chalmers berkata, banjir besar yang melanda akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi Australia dan meningkatkan inflasi di negara ini.