MIAMI: Angka kematian akibat Taufan Ian yang melanda Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, meningkat lebih 100 orang di Florida sahaja.
Menurut pihak berkuasa, sebahagian besar kediaman penduduk, restoran dan premis perniagaan terjejas apabila Taufan Ian membadai kawasan itu dengan membawa ribut Kategori Empat, pada 26 September lalu.
Suruhanjaya Pemeriksa Perubatan Florida dalam laporan terbaharunya menyatakan seramai 102 orang maut akibat ribut di seluruh negeri, dengan majoriti kes kematian dilaporkan di barat daya negeri itu.
Sebelum ini, gabenor negeri melaporkan lima orang lagi meninggal dunia di North Carolina.
Selepas membadai, Taufan Ian melepasi Florida dan ke Lautan Atlantik sebelum menuju ke darat semula, kali ini di pantai Carolina Selatan.
Menurut pihak berkuasa, ia mungkin mengambil masa selama beberapa bulan dan menelan perbelanjaan kira-kira AS$50 bilion (RM233.5 bilion) untuk membina semula kawasan pantai Florida yang musnah teruk akibat taufan.
Taufan Ian antara taufan paling kuat yang melanda AS pada abad ini. – AFP