NEW DELHI: Seramai 26 penganut agama Hindu dalam perjalanan pulang dari sebuah kuil di India maut apabila traktor yang menarik troli dinaiki mereka terbalik dan terjunam dalam kolam takungan di Uttar Pradesh.
Kemalangan di bandar Kanpur itu turut menyebabkan 22 lagi cedera, lapor The Times of India.
Menurut laporan itu, kesemua penganut tersebut duduk di dalam troli yang ditarik traktor berkenaan selepas pulang dari kuil Chandrika Devi.
Perdana Menteri India, Narendra Modi mengucapkan takziah dalam ciapan terbaharunya sejurus selepas kejadian.
“Berasa sedih dengan nahas traktor-troli yang berlaku di Kanpur.
“Ingatan saya dituju kepada mereka yang kehilangan orang terdekat dan tersayang serta doa buat mereka yang cedera,” ciap Modi.
Sementara itu, Ketua Menteri Uttar Pradesh, Yogi Adityanath berkata kenderaan berkenaan sepatutnya hanya digunakan untuk mengangkut barangan ladang dan pengangkutan, bukan manusia.
Difahamkan operasi mencari dan menyelamat telahpun selesai dan siasatan akan punca kejadian sedang dijalankan. – AFP