NEW DELHI: Hampir 100,000 ekor lembu dan kerbau mati manakala lebih dua juta lagi sakit di India akibat penularan penyakit kulit berketul atau ‘Lumpy Skin Disease’ (LSD).
Penularan wabak itu menyebabkan penternak lembu rugi kerana boleh mengakibatkan kematian, selain menjejaskan pengeluaran susu termasuk menjadikan haiwan ternakan kurus serta tidak subur.
Penyakit itu tersebar melalui serangga yang menghisap darah seperti nyamuk dan kutu, mengakibatkan lembu serta kerbau yang dijangkiti mengalami gejala demam dan ketulan pada kulit.
Pada tahun ini, golongan petani India mengalami kerugian teruk akibat cuaca melampau, menyaksikan gelombang haba meningkat sehingga melebihi rekod sasaran, sekali gus mengurangkan hasil pertanian.
Setakat ini, virus LSD sudah merebak ke sekurang-kurangnya 15 negeri dengan jumlah kematian lembu dan kerbau hampir dua kali ganda dalam tempoh tiga minggu.
Kes pertama LSD dikesan di Asia Selatan pada 2019 sebelum merebak ke India, China dan Nepal.
Penularan itu memberi kesan teruk kepada golongan penternak yang bergantung sumber pendapatan dengan menjual susu lembu.
India juga merupakan pengeluar susu terbesar dunia, iaitu menyumbang lebih 20 peratus pengeluaran global.
Namun, hanya sebahagian kecil bekalan susu dieksport ke luar negara, manakala selebihnya adalah untuk kegunaan tempatan. – AP