HANOI: Seorang wanita mendakwa dia sudah mengamalkan diet air selama lebih 41 tahun dan sehingga kini, tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.
Wanita yang hanya dikenali sebagai Ngon itu memberitahu, sepanjang empat dekad lalu, dia hanya menikmati air yang dicampur sedikit dengan garam, gula dan perahan lemon sebagai rutin makanan hariannya.
Pada usia 63 tahun, wanita itu kelihatan sihat dan seperti tidak mempunyai masalah kesihatan yang serius.
Malah, Ngon juga mendakwa dia lebih bertenaga dan jarang ditimpa sakit, termasuk demam.
Wanita itu menceritakan, dia sebelum ini menikmati makanan sama seperti orang lain iaitu makan nasi dan pelbagai juadah enak sehingga dia berusia 21 tahun.
Ketika itu, dia berdepan masalah kesihatan yang menyebabkan penglihatannya semakin kabur, sering sakit perut dan muntah.
Keputusan makmal menunjukkan dia mengalami penyakit berkaitan darah dan ubatan yang diberikan tidak mampu mengurangkan kesakitannya, menyebabkan wanita itu mengamalkan diet air.
Sejak itu, kesihatannya semakin baik menyebabkan dia tidak mahu lagi menukar dietnya, walaupun mengakui ada kalanya dia berasa bosan dengan rutin sama setiap hari.