TOKYO: Dua penduduk maut dan puluhan ribu yang lain terputus bekalan elektrik akibat tanah runtuh yang berpunca daripada hujan lebat dan ribut besar di negara itu.
Seorang mangsa yang maut berusia 40 tahun selepas rumahnya musnah ditimpa tanah runtuh di Kakegawa, Shizouka.
Agensi Meteorologi Jepun memaklumkan, taufan Talas kini menghampiri timur laut negara itu, iaitu 100 kilometer dari pantai Omaezaki.
Taufan itu membawa angin dengan kelajuan maksimum 90km sejam.
Susulan itu, agensi tersebut mengeluarkan amaran berhubung ombak kuat, hujan lebat, tanah runtuh dan banjir di kawasan tengah, timur dan utara Jepun termasuk di Tokyo.
Jepun kini berada dalam musim taufan dan berdepan kira-kira 20 keadaan ribut setahun yang menyebabkan bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.-AFP